KUALA LUMPUR - Sikap hormat terhadap lagu kebangsaan dalam kalangan generasi muda dilihat kian luntur, kata Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau berkata, anak-anak muda kurang menghayati serta menghormati lagu Negaraku mahupun lagu-lagu patriotik negara.
"Saya sering melihat generasi muda kita apabila berkumandang lagu Negaraku khasnya, mereka tidak hirau dan terus berbual dan ada yang terus berjalan tanpa sekelumit rasa malu sedangkan orang lain berdiri tegak menghormati lagi kebangsaan.
"Kelihatan juga yang teragak-agak untuk bangun berdiri. Perlu diingatkan bahawa lagu Negaraku adalah lagu kebangsaan. Lagu yang menjadi milik setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman politik.
"Sepatutnya setiap rakyat Malaysia bangga untuk berdiri menghormati lagi kebangsaan,"katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Perasmian Penutup Program Malaysia Dihatiku, di sini, hari ini.
Program anjuran Kelab Generasi Ilmu 1Malaysia (KGl1M) mempertandingkan dua kategori iaitu Foto Kreatif bertemakan #SaluteMalaysiaDiHatiku dan Pertandingan Mengarang Esei Kemerdekaan 1Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke59.
Seramai 12 pemenang diumumkan termasuk tiga kategori bagi Pertandingan Mengarang Esei Kemerdekaan 1Malaysia.